Mengenal keaiban diri.
1). Hampirkan diri pada guru atau orang berilmu yang dapat menyingkapkan sifat-sifat buruk yang bersarang dalam hati manusia. Guru akan memberitahu keaiban diri seseorang dan cara-cara mengubatinya.
2).Hendaklah mencari rakan karib yang boleh dipercayai, bijaksana dan lebih pengetahuan agamanya.Teman sebegini akan memerhatikan tingkah laku temannya dan jika terdapat perbuatan yang tidak elok, dia segera mengingatkannya.
3).Hendaklah berlapang dada apabila menerima teguran atau nasihat orang lain yang bersangkutan dengan perlakuan atau sifat aib yang terdapat dalam diri seseorang.
4).Hendaklah sentiasa bergaul dengan orang ramai. Lantaran sebarang perkara tercela yang dilihat pada orang lain akan menimbulkan pertanyaan kepada dirinya - adakah perkara tersebut ada pada diri aku? Sebab orang Mukmin adalah cermin kepada Mukmin yang lain.
Sesungguhnya tabiat dan sifat manusia di alam ini sama sahaja dalam menurut hawa nafsu. Setiap sifat yang ada pada orang lain, tidak mustahil terdapat juga pada diri sendiri. Malah mungkin lebih dahsyat daripada itu. Sebaik-baiknya telitilah diri sendiri dan bersihkan diri daripada mencela orang lain. Ingatlah, tiada cara yang lebih utama untuk mendidik diri selain mengenal keaiban diri terlebih dahulu. Tetapi apa yang lebih penting dalam memperbaiki keaiban atau kecacatan diri janganlah kita mendedahkan keaiban orang di hadapan orang lain dan wajib kita memeliharanya.
Ketahuilah bahawasanya Allah Azzawajalla, bila menghendaki bagi hambaNya sesuatu kebaikan, terlebih dulu dinampakkan kepadanya keaiban-keaiban diri sendiri. Maka barangsiapa bashirahnya (matahatinya) terbuka, tidak akan terlindunglah segala keaiban dirinya. Jika ia telah mengetahui keaiban diri, mudahlah ia mencari ubatnya. Akan tetapi kebanyakan orang tiada nampak keaiban diri sendiri. Dia boleh nampak debu yang kecil di mata orang lain, tetapi pohon di hadapan mata sendiri tiada dilihatnya.
Ketahuilah bahwa setiap manusia itu memang tidak mengetahui keaiban-keaiban diri sendiri. Andaikata dia sudah boleh menahan nafsunya sedikit saja, misalnya dengan meninggalkan beberapa dosa yang terkeji, mungkin dia mengira bahwa dia telah dapat mendidik dirinya, dia telah mampu memperelokkan kelakuannya, sehingga pada sangkaannya dia tidak perlu lagi meneruskan perjuangan untuk menahan hawa nafsu. Maka terhadap orang ini, haruslah diberikan penjelasan, apa dia tanda-tanda budi pekerti yang baik.
Budi pekerti yang baik itu ialah iman, manakala budi pekerti yang buruk pula ialah nifaq. Allah s.w.t. telah pun menggambarkan kepada kita tentang sifat kaum Mu’minin dan kaum munafikin di dalam kitabNya al-Quran, menampakkan kepada kita teras budi pekerti baik dan budi pekerti jahat. Berikut kita sebutkan sejumlah ayat-ayat mengenai kedua-dua sifat tadi.
Kita mulakan dengan tanda-tanda budi pekerti baik.
Firman Allah Ta’ala.
“Sesungguhnya telah beruntung orang-orang yang beriman. Mereka yang berkhusyu’ di dalam sembahyang mereka. Dan mereka yang berpaling dari perkara-perkara yang kotor. Dan mereka yang membayar zakat. Dan mereka yang menjaga alat-alat kelamin mereka. Kecuali kepada isteri-isteri mereka ataupun hamba sahaya yang mereka miliki, maka sesungguhnya mereka itu tiada tercela. Barangsiapa mencari selain dari itu, maka mereka itu adalah orang-orang yang melanggar batas. Dan mereka yang memelihara amanat-amanat dan janji mereka. Dan mereka yang menjaga sembahyang-sembahyang mereka. Mereka itulah orang-orang yang mewarisi, iaitu mewarisi Syurga Firdaus, dan mereka kekal di dalamnya buat selama-lamanya.” (al-Mu’minin: 1-11)
“Orang-orang yang bertaubat yang beribadat yang memuji Tuhan yang merantau (di bumi Allah), yang ruku’, yang sujud, yang menyuruh berbuat baik dan melarang dari perbuatan-perbuatan jahat, dan yang menjaga batas-batas Allah. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang beriman.” (at-Taubah: 112)
“Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu, ialah mereka yang apabila disebutkan saja nama Allah, maka takutlah hati mereka. Dan apabila dibacakan saja ayat-ayatNya, maka bertambahlah keimanan mereka, dan mereka itu sentiasa berserah diri kepada Tuhan mereka. Iaitu orang-orang yang mendirikan sembahyang dan membelanjakan dari apa yang Kami berikan kepada mereka. Mereka itulah orang-orang yang beriman dengan sebenarnya. Mereka memperoleh beberapa darjat di sisi Tuhan mereka, juga pengampunan dan rezeki yang mulia.” (al-Anfal: 2-4)
Maka barangsiapa merasa keliru tentang keadaan dirinya hendaklah ia mngukur diri dengan inti ayat-ayat di atas itu. Bila terdapat pada dirinya kesemua sifat-sifat yang tersebut di dalam ayat di atas tadi, maka itu adalah tandanya keluhuran budi pekerti. Dan bila lenyap pula keseluruhan sifat-sifat itu, maka itulah tandanya kejelekan budi pekerti. Dan seterusnya jika setengah ada dan setengah tidak ada, maka itulah pula menunjukkan ada sebahagian saja dari budi pekerti itu, maka dalam hal ini hendaklah ia berusaha pula untuk mendapatkan setengah yang tidak ada, seraya memelihara sifat-sifat yang telah ada, jangan sampai yang hilang pula.
Allah berfirman “ Demi masa, sesungguhnya manusia itu sedang dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan yang berpesan-pesan tentang kebenaran dan berpesan-pesan tentang kesabaran.”(al-asr: 1-3)
Bagaimana cara untuk kita mencintai saudara kita, iaitu dengan sentiasa menasihati dan memperingatkan tentang kebenaran di atas kesabaran.
Rasulullah s.a.w. telah mensifatkan orang Mu’min dengan sifat yang berbagai-bagai, kesemuanya menunjukkan kepada akhlak dan budi pekerti yang terpuji. Sabdanya:
“Seorang Mu’min itu mencintai saudaranya, sebagaimana ia mencintai dirinya.
Sabdanya lagi:
“Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, maka hendaklah ia menghormati tetangganya.”
Lagi sabdanya:
“Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, maka hendaklah ia berkata baik ataupun ia berdiam diri.”
Rasulullah s.a.w. menyebutkan juga tentang sifat-sifat kaum Mu’minin, iaitu hendaklah mereka berbudi pekerti indah. Sabdanya:
“Sempurna-sempurna iman orang Mu’min, ialah yang paling terpuji budi pekertinya.”
Sabdanya seterusnya:
“Tidak patut bagi seorang Mu’min memandang kepada saudaranya dengan pandangan yang boleh menyakiti hatinya.”
Sabdanya lagi
“Tidak patut bagi seorang Muslim mengancam orang Muslim lainya.”
Lagi sabdanya:
“Hanyasanya dua orang yang sedang duduk dalam sesuatu majlis itu, hendaklah menjaga amanat Allah azzawajalla, maka tiada boleh seorang dari keduanya melahirkan suatu rahsia yang dibenci oleh saudaranya.”
Ujian yang paling utama harus ditujukan kepada orang yang bersifat dengan budi pekerti yang luhur, ialah sifat sabar atas segala macam perkara yang menyakiti hati, dan menanggung segala kelakuan yang tidak disenangi.
Diriwayatkan bahwa pada suatu hari Rasulullah s.a.w. sedang berjalan-jalan bersama sahabatnya Anas, mereka bertemu dengan seorang Badwi, lalu Badwi itu menarik baginda secara kasar dan keras, sedang baginda memakai kain tutup buatan Najran yang kasar tepi-tepinya. Berkata Anas menceritakan berita ini: Saya boleh nampak pada leher baginda Rasulullah s.a.w. ada bekas yang ditinggalkan orang tarikan orang Badwi itu oleh kerana sangat kuatnya tarikan itu. Kemudian Badwi itu berkata kepada Baginda: Wahai Muhammad! Berikanlah aku harta Allah yang ada padamu! Rasulullah s.a.w. menoleh kepada Badwi itu seraya tertawa. Kemudian baginda menyuruh agar Badwi itu diberikan kehendaknya.
Demikianlah pula apabila orang-orang Quraisy terlalu banyak yang menyakiti baginda, maka baginda hanya berdoa begini:
“Ya Allah! Ya Tuhanku! Ampunilah terhadap kaumku! Sesungguhnya mereka tiada mengetahui.”
Diceritakan bahwa al-Ahnaf bin Qais pernah ditanya oleh orang, katanya: Dari siapa engkau belajar menjadi penyantun? Jawabnya: dari Qais bin ‘Ashim. Orang itu bertanya lagi: Sampai ke darjat manakah penyantunannya? Jawab al-Ahnaf: Pada suatu ketika, sedang ia duduk di rumahnya, maka datanglah jariahnya membawa pacak pemanggang besi yang ada daging panggangnya. Tiba-tiba pacak itu terlepas dari tangan jariah dan jatuh mengenai anak kecil Qais hingga menyebabkan anak itu mati. Jariah terperanjat dan bingung. Kata Qais: Engkau tak usah takut, tetapi kini aku merdekakan engkau kerana Allah Ta’ala.
Diriwayatkan lagi bahwa Saiyidina Ali bin Abu Talib karamallahuwajhah pernah memanggil hamba sahayanya, tetapi hamba itu tidak datang. Dipanggilnya kedua kali dan ketiga kali, ia masih tidak juga datang. Maka Ali pun mendatanginya. Dilihatnya hamba itu sedang baring bersenang-senang. Ali bertanya: Hai, apakah engkau tidak dengar panggilan aku? Hamba itu berkata: Bahkan saya dengar. Ali bertanya lagi: Tapi apa sebabnya engkau tidak menjawab penggilanku? Kata hamba: Saya tahu tuan tidak akan menyiksa saya atas kelakuan saya, maka saya pun malas hendak menjawab. Saiyidina Ali pun berkata lagi: Pergilah dari sini engkau, aku merdekakan kerana Allah Ta’ala.
Sekali peristiwa, pernah seorang wanita memanggil Malik bin Dinar (seorang perawi Hadis yang terkenal) katanya: Wahai orang yang banyak riya’! Maka dijawab oleh Malik bin Dinar: Wahai ibu! Sebenarnya engkau telah mengingatkan aku semula namaku yang telah dilupai oleh seluruh penduduk Basrah.
Demikianlah contoh-contoh jiwa yang telah direndahkan dengan latihan, sehingga menjadi lurus budi pekertinya dan bersih suci kebatinannya dari segala penyakit penipuan, kepalsuan dan hasad dengki. Jiwa yang serupa inilah yang akan menghasilkan keredhaan dengan segala yang ditentukan oleh Takdir Allah Ta’ala dan itulah yang dikatkan setinggi-tinggi keluhuran budi pekerti.
Oleh itu orang yang tiada menemui tanda-tanda ini dalam dirinya, jangan pula ia bermegah diri, sehingga menyangka yang ia bersifat dengan budi pekerti dan akhlak yang luhur. Sebaliknya hendaklah ia bertekun bersungguh-sungguh dalam melatih dirinya, dan berjuang menahan hawa nafsunya, sehingga ia berjaya pula mencapai darjat keluhuran budi pekerti dan akhlak. Sesungguhnya yang demikian itu adalah suatu darjat yang paling tinggi, yang tidak akan dicapainya, melainkan setelah ia sampai ke darjat para muttaqin dan shiddiqin.
No comments:
Post a Comment